24 Sept 2013

Anda boleh!



Jika anda berfikir bahawa anda telah tewas
Jika anda fikirkan yang anda takut
Jika anda ingin menang tapi, tapi merasa
bahawa anda tidak boleh
Hampir pasti bahawa anda akan kalah!

Kejayaan terletak pada minda anda
Ubah cara anda berfikir
Ianya haruslah tinggi dan anda akan
dapat terbang seperti burung helang 
yang sentiasa nampak gah.

Ingatlah, kejayaan dan kemenangan itu
bukanlah sentiasa datang kepada orang
yang lebih kuat atau lebih pantas.

Akhirnya insan yang akan menang ialah
yang BERFIKIR bahawa DIA BOLEH!

20 Sept 2013

5 tips mudah menetapkan matlamat (goal-setting)

Kajian mendapati bahawa individu yang menulis matlamatnya mempunyai kelebihan berbanding dengan orang yang tidak melakukan perkara yang sama. Secara keseluruhannya, ramai yang tidak menulis atau merekod matlamat mereka.

Ini mungkin disebabkan mereka tidak mengetahui kepentingan penetapan matlamat atau tidak tahu bagaimana cara untuk menetapkan matlamat dengan betul.

Ada beberapa prinsip mudah yang anda boleh gunakan untuk menetapkan matlamat secara berkesan.  Mari kita lihat prinsip ini satu-persatu.

1. Terhadkan jumlah matlamat anda.
Minda manusia tidak akan dapat memberi tumpuan terhadap lebih daripada 5-7 matlamat dalam masa yang sama. Jika anda menyenaraikan lebih dari yang sepatutnya, anda akan hilang tumpuan dengan mudah dan akhirnya motivasi untuk berusaha akan jatuh merudum. Seboleh-bolehnya biarlah matlamat yang anda ingin capai itu mudah diingati.

2. Matlamat anda mestilah spesifik
"Memiliki sebuah kereta" tidak cukup spesifik dan anda tidak akan dapat melihatnya dengan jelas dalam imaginasi anda. Contoh matlamat yang spesifik ialah "memiliki sebuah kereta Mercedes-Benz A 250 Sport berwarna putih".

3. Tulis matlamat anda
Menulis matlamat anda menunjukkan yang anda serius untuk mencapai matlamat tersebut dan menyebabkan minda anda bekerja mencari idea untuk dilaksanakan. Ini seterusnya akan membawa anda semakin hampir dengan impian anda.

4. Sentiasa reviu matlamat anda
Melihat semula atau review matlamat yang telah ditetapkan akan memberi semangat dan inspirasi kepada anda. Selain itu, anda pasti akan mendapat idea atau ilham tentang apa langkah seterusnya yang anda boleh ambil untuk mendekatkan lagi diri anda dengan pencapaian matlamat anda itu. Ini boleh dilakukan setiap hari, setiap minggu atau setiap bulan mengikut kesesuaian.

5. Kongsikan matlamat anda dengan orang tertentu sahaja
Jika anda ingin mengongsikan matlamat atau impian anda, biarlah dalam kalangan orang yang mahu anda berjaya, dan yang mempunyai komitmen untuk membantu anda berjaya. Contohnya rakan niaga atau mentor anda.

Walaupun penetapan matlamat mengambil masa yang agak panjang dan memerlukan anda berfikir, namun ianya akan memberi kebaikan kepada anda dalam jangka masa panjang. Anggaplah ini satu pelaburan. Setiap pelaburan pasti akan mendatangkan faedah di kemudian hari.

18 Sept 2013

Keinginan yang membara


Selamat datang ke blog KuasaMinda!

Adakah anda punya keinginan yang cukup membara untuk berjaya?

Kejayaan bukanlah untuk individu yang genius atau mempunyai bakat yang luar biasa sahaja. Kita semua mempunyai peluang untuk berjaya, dengan tekad dan usaha yang bersungguh-sungguh tidak ada perkara yang mustahil untuk dicapai.

Namun, anda pasti tertanya-tanya apa rahsia yang menyebabkan sesetengah orang boleh mencapai kejayaan yang hebat bukan?

Mungkin ramai dalam kalangan anda yang tidak tahu bahawa mereka yang berjaya ini mempunyai latar belakang yang biasa-biasa sahaja. Jika dilihat dari segi bakat atau keupayaan, mungkin anda punya kelebihan berbanding mereka.

Bezanya, mereka ini mempunyai KEINGINAN atau kemahuan yang sangat kuat untuk berjaya. Mereka tahu apa yang mereka mahu, dan bekerja tanpa putus asa untuk mencapainya. Biarpun halangan menggunung setinggi Gunung Everest, tapi mereka berjaya menakluknya kerana kemahuan mereka lebih tinggi dari mana-mana gunung di dunia ini.

Jika anda masih belum berjaya mencapai impian anda, ingatlah bahawa ianya bukan disebabkan oleh kekurangan bakat atau kurang bijak berbanding orang lain. Anda lihat ke dalam diri anda, selami hati nurani anda. Adakah keinginan anda untuk berjaya suda cukup kuat dan merah membara?

Jawapannya ada dalam diri anda sendiri. Selamat berjaya!